KUALA LUMPUR, 13 Julai - Penyertaan sulung kontinjen Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam kategori sukan bina badan pada Kejohanan World Police and Fire Games Birmingham 2025 (WPFG 2025) di Alabama, Amerika Syarikat baru-baru ini membuahkan kejayaan membanggakan dengan menghadiahkan tiga pingat emas untuk jabatan dan negara.
Penglibatan pertama dalam kategori tersebut bukan sahaja mencatat sejarah tersendiri, malah turut memperlihatkan kemampuan atlet badan beruniform bersaing di pentas antarabangsa yang berprestij.
Atlet bina badan JBPM, Syazwan Zakaria yang menyumbang satu pingat emas berkata, peluang mewakili jabatan dalam kejohanan berprestij itu merupakan satu cabaran besar, apatah lagi merupakan penyertaan pertamanya di peringkat antarabangsa.
"Kalau ikutkan, ini adalah kali pertama saya menyertai WPFG. Daripada segi cabaran, memang tekanan yang tinggi bagi saya kerana pihak jabatan memberi saya kepercayaan bertanding dalam kejohanan itu.
"Macam mana pun, kami cuba buat yang terbaik. Alhamdulillah, kami berjaya menyumbangkan pingat emas untuk jabatan dan juga Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian kepada RTM selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Angkasapuri Kota Media di sini.
Terdahulu, pasukan JBPM yang diwakili 34 atlet berjaya merangkul 19 pingat emas, 17 pingat perak dan 10 pingat gangsa pada kejohanan berlangsung dari 30 Jun hingga 5 Julai lalu.
Sementara itu, acara tenpin boling menyaksikan pencapaian terbaik JBPM apabila berjaya memenangi tujuh pingat emas diikuti golf dengan enam pingat emas dan masing-masing tiga pingat emas bagi sukan dart dan bina badan.
Atlet tenpin boling JBPM, Suhada Mohd Sayuthi berkata, minat mendalam terhadap sukan boling tercetus hasil inspirasi daripada legenda boling negara, Datuk Shalin Zulkifli.
"Minat saya dalam boling sebenarnya datang daripada tokoh legenda kita, Datuk Shalin. Pada awalnya, sukan ini kurang dikenali dalam kalangan masyarakat, termasuk saya sendiri. Tapi sekitar tahun 2008, bila Datuk Shalin mencipta nama di pentas dunia, ketika itu minat saya mula timbul," katanya.