KUALA LUMPUR, 2 Mac - Sejumlah RM50 juta diperuntukan bagi melaksanakan penggantian lif yang sudah usang di seluruh Projek Perumahan Rakyat (PPR).
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata pihaknya menyasarkan penggantian 500 lif dalam masa lima tahun, dengan 70 daripadanya akan diganti sepanjang tahun ini.
Katanya, kerja menaik taraf lif di PPR perlu bagi memastikan keselamatan dan keselesaan penduduk yang sebelum ini sering berdepan masalah kerosakan lif.
"Saya sasarkan 500 lif dalam lima tahun sekiranya mempunyai peruntukkan mencukupi. Ini akan membawa manfaat kepada 500,000 ribu penghuni seluruh negara, lif yang baharu dengan ruang lif yang bersih dan juga moden," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menjadi tetamu rancangan Bicara Naratif di Angkasapuri, semalam.
Tambah Ko Ming, menjelang 100 hari pentadbirannya di Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), beberapa sasaran utamanya berjaya dicapai.
Antaranya, internet percuma berjaya dibekalkan kepada 53,000 penghuni PPR dan 126 tapak pelupusan sampah haram kini turut dibersihkan.
Selain itu, sebanyak tujuh balai bomba baharu juga berjaya disiapkan dalam tempoh 100 hari pentadbirannya selain sasaran untuk menyiapkan 15 lagi balai bomba.