BUKIT MERTAJAM, 4 Januari- Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengumumkan peruntukan sebanyak RM110 juta bagi menaik taraf pasar-pasar awam di seluruh negara.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, permohonan adalah terbuka kepada mana-mana pasar awam yang telah berusia lebih 50 tahun yang memerlukan pembaikan serta mempunyai potensi sebagai destinasi pelancongan.
"Dan tahun ini saya dengan sukacita mengumumkan Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan akan menyediakan sebanyak RM110 juta dana khas untuk menaik taraf pasar-pasar awam di seluruh negara
"Kita harap mulai hari ini mana-mana pembinaan semula pasar awam baru, yang berskala besar seperti kompleks pasar Bukit Mertajam akan mengamalkan modus operandi yang sama iaitu kita akan membuat pertandingan secara terbuka.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Reka Bentuk Pasar Awam Bukit Mertajam yang dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM).
Tambah beliau, pertandingan yang julung kali diadakan ini merupakan sejarah pembangunan prasarana awam negara.
Pertandingan tersebut turut menerima sambutan yang memberangsangkan dengan 75 penyertaan dari seluruh negara.
Jelasnya, konsep pertandingan reka bentuk ini akan diaplikasikan bagi pembinaan semula pasar-pasar awam di Malaysia.
Pihaknya akan turut berbincang bagi menertapkan konsep pertandingan ini bagi Program Perumahan Rakyat (PPR).