fb fb fb fb fb

Kecuaian kontraktor punca kren tumbang di landasan kereta api - Loke

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke

PUTRAJAYA, 4 Januari - Kecuaian kontraktor projek parkir bertingkat dikenal pasti menjadi punca berlakunya insiden kren binaan tumbang di atas landasan kereta api di Rawang, pada 12 Disember lalu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata ekoran kejadian tersebut pihak Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) mengalami kerugian lebih RM2.4 juta.

Beliau berkata, hasil siasatan mengenai insiden tersebut hari ini mendapati pihak kontraktor gagal memastikan kawasan kerja selamat kerana terdapat pihak kontraktor yang memasuki kawasan yang dilarang berhampiran landasan.

“Anggaran kerugian yang dihadapi oleh KTMB sahaja ialah RM2.4 juta daripada insiden ini termasuklah bas perlu disediakan untuk mengalihkan penumpang dan kehilangan dari segi perkhidmatan kargo dan perkhidmatan penumpang.

"Kementerian Pengangkutan memandang perkara ini dengan begitu serius sekali dan laporan lengkap telah pun dibentangkan kepada mesyuarat pascakabinet semalam," katanya pada sidang media di kementeriannya, di sini.

Tambah Loke, susulan kemalangan tersebut tindakan akan dikenakan mengikut Seksyen 128(1)(a) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

"Mesti ikut syarat yang ditetapkan dan jangan sesekali masuk ke kawasan larangan keretapi, ini soal nyawa manusia, untuk hendak senangkan kerja itu kamu mungkin merisikokan nyawa manusia.

"Ini satu perkara yang amat serius dan itu sebabnya saya telah meminta pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk melihat apa bentuk tindakan yang boleh diambil terhadap kesalahan ini," katanya.

Loke turut memberi amaran kepada mana-mana kontraktor untuk tidak mengabaikan isu keselamatan terutamanya di kawasan larangan kereta api.

Pada 12 Disember 2023, perkhidmatan tren KTMB Komuter Lembah Klang dan Tren Elektrik (ETS) mengalami gangguan perjalanan disebabkan kren yang digunakan untuk pembinaan projek parkir bertingkat Perbadanan Aset Keretapi (RAC) tumbang di atas landasan kereta api di antara Rawang dan Kuang pada kira-kira 5.53 petang.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN