fb fb fb fb fb

Skim khas bantu kebajikan petugas media kontrak, sementara dibincang

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil/BERNAMA

CHERAS, 4 Januari- Satu perbincangan telah diadakan membabitkan Kementerian Komunikasi dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berhubung keperluan mewujudkan produk atau skim khas yang dapat membantu kebajikan petugas media bertaraf kontrak.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata skim tersebut akan menumpukan aspek keselamatan sosial termasuk pencen ilat.

"Saya telah mengadakan sedikit perbincangan dengan pihak PERKESO bertemu dengan CEO PERKESO Datuk Seri Azman dan menyampaikan beberapa pandangan tentang keperluan untuk mungkin pertimbang mewujudkan satu produk atau pun satu skim untuk membantu para stringer dan piecemeal pekerja untuk mendapat aspek keselamatan sosial termasuk pencen ilat.

"Jadi saya lihat ini akan dapat membantu, tetapi saya serah kepada pasukan untuk teruskan perbincangan dan kita harap satu keputusan yang baik dapat kita peroleh kemudian", katanya.

Beliau terdahulu menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada bekas Editor RTM, Sahbudin Abdullah yang menghidap masalah jantung di kediamannya di Cheras.

Sahbudin antara 29 rakan media yang menerima manfaat daripada Tabung Kasih@HAWANA sejak inisiatif diperkenalkan April tahun lepas.

ROSLINA BINTI DIN