KUALA LUMPUR, 30 Ogos - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengumumkan peruntukan hampir RM60 juta kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersempena Program Sentuhan Kasih KPKT 3.0.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, semua peruntukan itu membabitkan 117 projek prasarana awam di ibu negara, termasuk penyelenggaraan lif perumahan, naik taraf taman, pembinaan hentian bas serta pembangunan balai bomba.
“Kesemua projek ini perlu dilaksanakan segera oleh DBKL di bawah kepimpinan Datuk Bandar Kuala Lumpur dan dijangka siap sepenuhnya tahun ini juga kerana ia menyentuh kesejahteraan hidup rakyat,” katanya pada sidang media program tersebut, di sini.
Peruntukan meliputi RM28 juta untuk program penyelenggaraan perumahan termasuk rumah mampu milik berstrata di bawah Jabatan Perumahan Negara.
RM17 juta di bawah Jabatan Landskap Negara bagi projek pengindahan Taman Persekutuan Bukit Kiara (Fasa 2) dan naik taraf Taman Poket P. Ramlee, Jalan Pinang.
RM7 juta untuk pembinaan hentian bas, laluan kaki berbumbung di Lembah Klang, serta pembangunan fizikal di Kampung masyarakat India.
Sementara itu, RM4.6 juta bagi pembangunan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, termasuk pembinaan Balai Bomba Menjalara, Desa Petaling, Kuarters bomba di Cheras, dan sebuah jentera Compact Fire Rescue Tender (CFRT).
Program lain termasuk RM1.5 juta untuk penyelenggaraan 10 rumah ibadat bukan Islam dan RM1 juta bagi kajian perancangan bandar melalui Pelan Malaysia.
RM666,000 untuk program pemerkasaan ekonomi komuniti bandar bagi membantu ibu tunggal dan golongan B40 serta RM600,000 untuk projek kemajuan Kampung Baru.
Nga menegaskan KPKT komited bekerjasama dengan DBKL serta pihak berkuasa tempatan lain bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan.
“Selaras dengan semangat Malaysia Madani, kita mahu rakyat menikmati prasarana yang lebih selesa, moden dan inklusif. Tiada siapa yang akan ketinggalan,” katanya.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif.
Beliau turut menjemput warga Kuala Lumpur hadir ke Konsert Ambang Merdeka di Dataran Merdeka malam ini, yang bakal dimeriahkan dengan persembahan artis tempatan dan bunga api.
“Dengan semangat ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’, kita semua tidak kira bangsa atau agama adalah satu keluarga besar. Inilah semangat kekeluargaan Malaysia Madani yang harus kita semarakkan,” katanya.