fb fb fb fb fb

AYIMUN, platform lahirkan pemimpin dunia berkualiti

Program di Kuala Lumpur kali ini menghimpunkan lebih 900 delegasi bagi mewakili 45 negara/Foto FB Asia Youth International MUN

KUALA LUMPUR, 30 Ogos - Asia Youth International Model United Nations (AYIMUN) ke-18, platform melahirkan pewaris kepimpinan berkaliber, seimbang dan berkualiti.

Presiden Rangkaian Global Antarabangsa, Muhammad Fahrizal berkata, lebih 900 delegasi menyertai program kali ini bagi mewakili 45 negara.

Program berprestij bertaraf antarabangsa yang diperkenal sejak 2017 itu, bertujuan mengasah bakat kepemimpinan muda serta melatih kemampuan diplomasi, hubungan antarabangsa, penyelidikan, kemahiran berbahasa, debat, dan kebolehan berfikir kritis.

"Ini ialah simulasi sidang Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang disertai oleh peserta berusia antara 11 hingga 25 tahun. Mereka dibahagikan kepada 13 majlis dengan tema yang berbeza-beza seperti pendidikan, kesihatan, kewangan, peperangan dan sebagainya.

"Semuanya berkisar pada isu-isu yang sedang hangat dan menjadi trend di peringkat global ketika ini.

"Peserta datang dari seluruh dunia. Kami menerima wakil dari 45 buah negara. Terdapat penyertaan dari negara-negara Barat seperti Amerika Syarikat, juga dari Eropah dan Asia," katanya.

Tidak hanya memberi ruang kepada anak muda menyerlahkan kebolehan dalam interaksi sosial yang berkesan, para peserta juga diberi pendedahan dan peluang untuk menguasai kemahiran teknikal (hardskill) dan kemahiran interpersonal (softskill).

"Apabila mereka melangkah ke dunia pekerjaan, mereka bukan sahaja perlukan kemahiran teknikal, tetapi juga kemahiran seperti komunikasi, pemikiran kritis, perundingan, dan penyelesaian masalah. Program seperti ini membantu melengkapkan mereka dengan kemahiran tersebut."

"Dalam program ini, peserta berdebat, bertukar idea dan membina sokongan seolah-olah simulasi kehidupan sebenar.

"Harapannya, mereka dapat mengimbangi kemahiran teknikal dan interpersonal, serta lebih bersedia untuk mencapai cita-cita mereka pada masa hadapan," tambahnya.

Para peserta dipilih berdasarkan kemampuan berbahasa Inggeris dengan baik, berpengalaman serta mahir dalam pengucapan awam.

"Pelajar-pelajar ini benar-benar membuat persiapan sebelum menyertai program. Mereka menulis kertas kerja lebih awal, malah di sesetengah sekolah dan negara, persiapan dibuat tiga hingga enam bulan lebih awal. Jadi, mereka memang bersedia sepenuhnya," ujarnya lagi.

Sementara itu, para delegasi muda yang ditemui juga teruja dan bersemangat kerana dapat menimba pengalaman berharga.

"Saya dapat tambah kenalan dan tingkatkan kemahiran insaniah untuk persiapan masa depan. Penyertaan ini juga membuka peluang saya berhubung dengan pelbagai budaya dan orang dari banyak negara, termasuk Amerika Syarikat. AYIMUN memang sangat pelbagai, " kata Kenzio Muhammad Raharjo dari Indonesia.

Bagi Brahm Thaddeus Kuepfer dari Switzerland pula menyidfatkan pengalaman itu sebagai hebat dan bermakna.

"Saya rasa memang seronok sebab kita boleh berkomunikasi, belajar, kenal orang baru, dan belajar bekerjasama dengan negara lain. Pengalaman ini memang hebat dan sangat bermakna," katanya.

"Saya dalam majlis Junior dan ia sangat menyeronokkan. Saya dapat bekerjasama dengan orang baru, menambah kenalan, dan kami sama-sama masih belajar perkara baru berkaitan dunia serta peraturannya," luah Mika Smith dari Afrika Selatan.

AYIMUN ke-18 berlangsung selama 4 hari, bermula pada 29 Ogos sehingga 1 September ini.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI