MUAR , 30 Ogos – Hasil negeri Johor dijangka mencecah RM2.5 bilion menjelang hujung tahun ini susulan kemasukan pelabur ke negeri itu melalui Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-EZ).
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, peningkatan hasil berkenaan akan memberi manfaat terus kepada rakyat menerusi pelbagai inisiatif baharu kerajaan negeri.
“Tambahan RM500 juta ini, bila hasil negeri meningkat, saya sudah maklum kepada rakan-rakan Exco bahawa kita akan pulangkan kembali kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Pesona Keluarga Johor di Bakri, Muar, hari ini.
Dalam pada itu, Onn Hafiz turut mengumumkan bantuan sekali beri berjumlah RM300 kepada semua ibu tunggal dan pesakit kanser di negeri ini dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM10 juta.