KUCHING, 9 Februari- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) komited bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi memodenkan sektor pertanian di Sarawak sekali gus memajukan sektor agro makanan negara kata Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu.
Antara cadangan kerjasama dengan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg termasuk menggalakkan penggunaan teknologi dalam aktiviti pertanian bagi meningkatkan hasil pengeluaran.
"Pendekatan ini dilihat signifikan untuk menangani cabaran dan isu keterjaminan makanan yang dihadapi oleh argo makanan peringkat domestik dan global," katanya selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia Kuching di sini.
Mohamad turut memaklumkan kementerian akan memberi fokus kepada pengukuhan terhadap empat industri meliputi padi dan beras, ayam dan telur, bawang dan industri nanas pada tahun ini.
Inisiatif itu akan diperkukuhkan secara holistik dan komprehensif melalui Program Inovasi Nasional Keterjaminan Agro makanan Rakyat (PINTAR).
Sebelum ini, Mohamad dilaporkan berkata KPKM akan melipatgandakan usaha serta memperluas penanaman padi bawah Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Ala Sekinchan termasuk di Sabah dan Sarawak pada tahun ini.
Ia selaras dengan hasrat menjadikan kedua-dua negeri itu sebagai jelapang padi negara kedua pada masa depan.
Mohamad berkata Program SMART SBB Ala Sekinchan menumpukan kepada model dan amalan pertanian baik seperti dilakukan oleh pesawah di Sekinchan, Selangor dan program itu sedang dilaksanakan di seluruh negara melibatkan hampir 10,000 pesawah dengan keluasan lebih 26,000 hektar.
Selain itu ia dijangka menambah pendapatan golongan pesawah menerusi peningkatan hasil padi. Program itu juga disasarkan supaya menghentikan kebergantungan negara terhadap beras import dalam tempoh dua tahun.
Bagaimanapun komitmen semua pihak amat diperlukan bagi menjayakan aspirasi itu.