KUALA LUMPUR, 7 November - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui jabatan dan agensi sentiasa berusaha memajukan sektor agromakanan menerusi kerjasama strategik dengan kerajaan negeri bagi membangunkan tanah terbiar secara optimum.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup memberitahu, pihaknya menyedari keperluan itu dan sentiasa terbuka untuk bekerjasama bukan sahaja dengan kerajaan negeri.
Malah juga dengan agensi atau Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC), bagi mengoptimumkan penggunaan tanah terbiar di seluruh negara, sekali gus mempertingkat keterjaminan makanan untuk kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata, antara langkah proaktif yang telah dan sedang dilaksana termasuk kerjasama dengan pelbagai pihak dalam program penanaman padi berskala besar, projek pembangunan industri jagung bijian dan projek meningkatkan pengeluaran susu tempatan.
"Yang pertama pelaksanaan program SMARTSawah berskala besar atau SMARTSPB, yang melibatkan kerjasama strategik antara kementerian dan 25 buah syarikat peneraju seperti BERNAS, FGV Intergrated Farming Holding Sdn.Bhd., Pertubuhan Peladang Kebangsaan, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan Perbadanan Kemajuan Pertanian di Pahang bagi meningkatkan produktiviti pengeluaran beras.
"Sebelum ini kita sudah melaksanakan projek perternakan integrasi lembu pedaging di kawasan Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di Manjung, Perak dan kita sangat terbuka untuk meningkatkan lagi program-program yang lain seperti tanaman jangka pendek untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil RISDA," kata Arthur dalam sesi soal jawab, di Dewan Rakyat.