fb fb fb fb fb

Kebebasan tiada sempadan adalah kebebasan mengundang malapetaka - Fahmi

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil/Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 7 November - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) kini dalam proses memuktamadkan Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) untuk penerbitan sebelum tarikh kuat kuasa kerangka pelesenan itu pada 1 Januari tahun hadapan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, matlamat draf Kod Tatalaku tersebut akan menggariskan amalan terbaik untuk diterima pakai oleh penyedia perkhidmatan yang dilesenkan di bawah Akta 588.

Katanya, pelaksanaan pelesenan di bawah Akta 588 itu untuk mengimbangi keperluan kawal selia dan perlindungan kepada hak kebebasan bersuara serta kebebasan maklumat.

"Kebebasan bersuara adalah hak asasi yang diiktiraf, yang telah termaktub di bawah Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan, namun ia perlu disertai dengan tanggungjawab.

"Kebebasan yang tiada sempadan adalah kebebasan yang mengundang malapetaka.

"Oleh itu, tindakan ini adalah untuk memastikan keseimbangan antara kebebasan bersuara, keselamatan negara dan kesejahteraan hidup rakyat," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan (Tasek Gelugor) mengenai hala tuju kementerian dalam kawal selia platform media sosial dan mengimbanginya dengan hak kebebasan bersuara dan kebebasan maklumat.

Tambah beliau, kerajaan tidak akan menapis internet seperti yang dijelaskan di bawah Rang Jaminan MSC Malaysia (MSC Malaysia Bill of Guarantee) No.7.

"Namun, ini tidak bermakna kandungan yang melanggar undangundang boleh disebarkan dengan sewenang-wenangnya tanpa mengambil kira peruntukan perundangan.

"Apa-apa perlakuan yang melanggar undang-undang di ruang fizikal juga menjadi satu kesalahan di dalam persekitaran dalam talian," jelasnya.

Katanya, MCMC telah menyelesaikan Rundingan Awam bagi draf Kod Tatalaku untuk penyedia perkhidmatan pada 5 November lalu.

Ia selepas mendapatkan mendapatkan maklum balas daripada penyedia perkhidmatan, orang awam, industri, dan pihak berkepentingan.

GRACE AISYAH KEDAYAN