KUALA LUMPUR, 7 November-Kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi jaminan bahawa Program Road To Gold (RTG) dan Podium akan diteruskan dan diberi sokongan.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata Jawatankuasa Road to Gold (RTG) telah meluluskan inisiatif baharu iaitu Program RTG Fast Track untuk Olimpik Los Angeles 2028 dalam usaha mencungkil dan mengasah bakat-bakat baru.
Hannah turut mendedahkan Majlis Sukan Negara (MSN) akan membangunkan sukan-sukan baru seperti skateboard, climbing dan surfing yang dilihat mampu menjadi penyumbang pingat kepada negara.
"Oleh sebab itu, persiapan RTG telah bermula skerang. Kita telah membelanjakan untuk menghantar 'Fast Track atlet 2028. Semua persiapan sedang dijalankan sekarang untuk pastikan bukan saat-saat akhir", katanya demikian ketika menjawab pertanyaan lisan daripada Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh berkaitan langkah kerajaan menambah baik prestasi sukan kebangsaan memandangkan prestasi skuad kebangsaan di dalam sukan Olimpik baru- baru ini di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Hannah mendedahkan kira-kira RM20.1 juta telah dibelanjakan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) bagi Program Road To Gold (RTG) dan Podium bagi tujuan kelayakan dan persiapan atlet ke Sukan Olimpik Paris 2024.