MANJUNG, 7 November-Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak akan terus menumpukan kepada usaha pencegahan rasuah, meningkatkan tatakelola dan integriti melalui aspek kesedaran dan pendidikan.
Tumpuan akan turut diberikan kepada menghapuskan amalan rasuah dalam sistem perolehan kerajaan, mengelak ketirisan dan memastikan projek-projek dilaksanakan mengikut undang-undang.
Pengarah SPRM Perak, Datuk Ahmad Sabri Mohamed berkata, amalan rasuah perlu di pandang serius dan usaha membanteras amalan tersebut perlu diteruskan tanpa mengira jumlah atau kategori individu terlibat.
"Selain daripada tindakan menyiasat untuk melihat siapa yang melakukan kesalahan tersebut.
"Dalam masa sama kita kena melihat isu tatakelola kerana isu tatakelola juga merupakan satu isu yang perlu kita perkemaskan untuk kita mengelak daripada berlaku penyelewengan dalam perolehan dan juga ketirisan pada hasil kerajaan", katanya demikian pada sidang media Majlis Perasmian Pejabat SPRM cawangan Manjung yang disempurnakan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali, pagi tadi.
Bangunan tersebut sebelum ini merupakan Perpustakaan Awam Sitiawan sejak 1990 dan kemudiannya diserahkan kepada SPRM Perak pada 5 Jun 2024.
Pejabat itu dilengkapi bilik ketua cawangan, ruang kerja pegawai, bilik aduan serta bilik gerakan operasi siasatan.
Pejabat SPRM di Manjung akan melaksanakan fungsinya bukan sahaja di daerah itu tetapi juga meliputi daerah Perak Tengah, Bagan Datuk dan Hilir Perak.