fb fb fb fb fb

Iklim global: Sifar bersih menjelang 2050

Ahmad Farid Mohamed / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 7 November - Kerajaan fokus memenuhi ikrar iklim global dalam usaha mencapai pelepasan gas rumah hijau (GHG), sifar bersih menjelang 2050.

Justeru Dasar Perubahan Iklim Negara (DPIN 2.0) dirangka bagi membimbing peralihan Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon.

Timbalan Setiausaha Bahagian Perubahan Iklim Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Ahmad Farid Mohamed berkata, DPIN 2.0 merupakan dasar utama yang menghubungkan semua pihak berkepentingan berkaitan tadbir urus, pembangunan rendah karbon selain memastikan peralihan kepada pembangunan rendah karbon dilaksanakan secara teratur dan seimbang.

"Berbagai usaha yang sedang kerajaan laksanakanlah seperti yang digariskan dalam New Energy Transition Roadmap (NETR) dan juga dalam new industrial master plan.

"Juga pelan-pelan lain di mana kita berhasrat untuk menggunakan lebih banyak tenaga boleh baharu. Kita hendak menggunakan carbon capture storage, kita nak gunakan lebih banyak bio energy dan juga meningkatkan energy efisiensi.

"Jadi apabila kita melakukan lebih banyak usaha ini, jadi secara tak langsung kita dapat mengurangkan pelepasan gas rumah kaca kita," katanya kepada pemberita selepas selesai penggambaran program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri hari ini.

Tambahnya dasar yang dirangka turut menjadi tulang belakang kepada penggubalan Akta Perubahan Iklim Malaysia yang diharap merealisasikan hasrat karbon sifar bersih seperti yang disasarkan.

Sekali gus menzahirkan komitmen berterusan kerajaan di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

Jelasnya, dasar-dasar yang dirangka memberi keutamaan melindungi rakyat daripada impak perubahan iklim yang makin dirasai negara.

Trainee