fb fb fb fb fb

KPKM jamin bekalan sayur cukup ketika Monsun Timur Laut

Mohamad Sabu (dua kanan) pada majlis menyerahkan replika kunci 12 buah lori sejuk dan lori kayu kepada wakil Pertubuhan Peladang Kawasan di seluruh negara hari ini

KUALA LUMPUR, 14 Oktober- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan memastikan bekalan sayur-sayuran mencukupi susulan fasa Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka melanda beberapa negeri menjelang hujung tahun ini.

Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata pihaknya juga akan memantau harga sayur-sayuran di peringkat ladang, yang mungkin meningkat ketika musim monsun.

"Kita akan sentiasa pantau. Sebab itu, kita ada stok penimbal. Kalau bekalan tempatan tidak mencukupi, kita akan cuba import. Yang penting adalah keterjaminan bekalan sayur dan kestabilan harga, yang akan kami cuba kawal sebaik mungkin," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan replika kunci 12 buah lori sejuk dan lori kayu melibatkan peruntukan RM2.7 juta kepada wakil Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di seluruh negara.

Mohamad menjelaskan bahawa lori-lori berkenaan akan membantu PPK memasarkan barangan makanan bermutu tinggi dan memastikan kesegaran produk sehingga sampai kepada pengguna.

Peruntukan itu katanya bertujuan memperkasa ekosistem serta melengkapkan rantaian produk makanan melalui peningkatan kemudahan logistik PPK.

Monsun Timur Laut biasanya berlaku antara November hingga Mac, sering membawa hujan lebat terutama di kawasan pantai timur. Keadaan itu bukan sahaja meningkatkan risiko banjir di kawasan terjejas tetapi turut menjejaskan hasil pertanian termasuk bekalan sayur-sayuran.

SITI AISHAH MD ISA