fb fb fb fb fb

KPK rancang penyatuan tanah ladang sawit bagi tingkatkan produktiviti

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 2 Julai -Satu inisiatif sedang dijalankan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) bagi memastikan pengurusan ladang sawit pekebun kecil yang lebih optimum kata Menterinya, Datuk Seri Johari Ghani

Katanya skim konsolidasi berkenaan bakal bersifat komersial bagi membolehkan inisiatif itu dilaksana secara berterusan, dalam tempoh jangka masa panjang.

Melalui skim berkenaan, ladang-ladang sawit bersaiz kecil dapat disatukan dan diuruskan sebagai satu ladang estet yang sederhana atau besar.

"Kita sedang membuat persediaan untuk meyakinkan pemegang saham yang kecil yang tidak mengendalikan ladang dengan cekap untuk kita mengadakan satu konsep penyatuan ataupun 'consolidation' tanah-tanah ladang yang kecil-kecil ini untuk ditadbir secara estet.

"Kemudian, kita juga akan meningkatkan R&D dalam mengawal penyakit-penyakit yang berjangkit mengenai pokok-pokok kelapa sawit ini", katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi yang ingin tahu langkah-langkah yang diambil untuk meningkatkan produktiviti dan hasil minyak sawit daripada ladang sedia ada supaya produk minyak sawit Malaysia berdaya saing di pasaran
komoditi global.

Dalam pada itu, Johari turut memaklumkan pihaknya turut memberi perhatian kepada penyediaan tenaga buruh yang mencukupi, khususnya untuk aktiviti penuaian buah kelapa sawit.

Langkah itu antara lain, bagi memastikan  produktiviti dan hasil dari ladang-ladang sedia ada dapat ditingkatkan  supaya lebih berdaya saing di pasaran global.

"Yang kedua, meningkatkan 'mekanisation' dalam pengurusan ladang-ladang besar, yang sederhana dan kecil. Antaranya kerja-kerja untuk mengutip buah sawit, mengangkat dan menyusun buah sawit, penghantaran dan pemunggahan pemindahan buah-buah sawit dengan menggunakan mekanisme; yang ketiga pengurusan ladang yang optimum ataupun 'good agriculture practises' iaitu dari segi penanaman semula mengikut jadual, penggunaan baja yang berkualiti, benih yang bermutu", katanya di Parlimen hari ini.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD