fb fb fb fb fb

Pelajar cemerlang SPM layak dipertimbang ke program matrikulasi dan asasi UA

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek

PARIT BUNTAR, 2 Julai - Pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) layak dipertimbang untuk kemasukan ke matrikulasi dan program asasi Universiti Awam (UA).

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata ini kerana pemilihan tidak hanya tertumpu kepada lepasan SPM yang memperoleh keputusan 10A dan ke atas sahaja.

Sehubungan itu, pelajar yang tidak disenaraikan ke mana-mana institusi pengajian diminta untuk segera mengemukakan rayuan.

"Semua pelajar cemerlang kita akan pertimbangkan. Jadi jangan risau, ruang itu ada, rayuan kita buka seluas-luasnya untuk kita penuhi dan juga memberikan ruang pendidikan kepada semua pihak dan itu adalah jaminan daripada Kerajaan Madani," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Antibuli Peringkat Daerah Kerian 2024 di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Parit Buntar, di sini

Tambah Fadhlina, ketika ini, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) secara agresif memastikan semua pelajar cemerlang mendapat tempat dan tidak tercicir.

Dalam perkembangan lain, Fadhlina sekali lagi menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana kes buli di institusi bawah KPM.

Beliau berkata, ketika ini kementerian sedang menambah baik garis panduan berkaitan agar kes seumpamanya dapat dikekang selain memperkasa sistem penyaluran aduan bagi memudahkan akses kepada pelajar dan ibu bapa.

"Insya-Allah saya yakin dengan kerjasama semua kita dapat tangani gejala buli ini dengan lebih berkesan khususnya dalam konteks memastikan pendidikan itu berterusan, peringatan itu diberikan melalui pendidikan dan apa sahaja tindakan yang kita ambil," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN