fb fb fb fb fb

KPK, PETRONAS sasar kumpul 300,000kg minyak masak terpakai tahun ini

Menteri KPK, Datuk Seri Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR, 16 Mac- Program pengumpulan minyak masak terpakai menerusi usaha sama Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dan PETRONAS Dagangan Berhad (PDB) menyasarkan pengumpulan sejumlah 300,000 kilogram minyak masak terpakai, tahun ini.

Program tersebut dijangka akan diperluas ke 50 stesen minyak Petronas di seluruh negara dengan sasaran penyertaan seramai 15,000 orang awam.

Menteri KPK, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata bersempena bulan Ramadan, kedua-dua pihak juga bersepakat untuk memperluaskan program berkenaan di bazar Ramadan yang terpilih.

"Minyak masak ini walaupun sudah dipakai atau sampai tahap tidak boleh digunakan lagi, sebenarnya ia ada nilai."

"Kita boleh beri nilai itu melalui satu kitaran ekonomi yang baharu di mana minyak-minyak masak ini boleh diproses semula, kemudian boleh digunakan sebagai minyak yang boleh diguna pakai dalam sektor penerbangan kita," kata Johari kepada pemberita, di ibu negara.

Harga pembelian semula minyak masak terpakai yang ditawarkan oleh PETRONAS adalah RM3.00 sekilogram manakala RM2.50 sekilogram bagi kawasan di Semenanjung Pantai Barat, Pantai Timur, Sabah dan Sarawak.

Justeru, orang ramai digalak untuk mengumpul minyak masak terpakai dan dibawa ke stesen-stesen minyak terpilih PETRONAS atau bazar-bazar Ramadan yang berkenaan untuk dijual.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM