fb fb fb fb fb

Teliti beberapa faktor sebelum laksana pembenihan awan - Nik Nazmi

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad

KUALA LUMPUR, 16 Mac - Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sedang memantau beberapa faktor sebelum melaksanakan pembenihan awan susulan cuaca panas yang melanda beberapa negeri.

Menurut Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) akan mengeluarkan panduan berhubung kesesuaian waktu sebelum melakukan operasi bagi memastikan pelaksanaanya berkesan.

"Pihak kita dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bekerjasama dan apabila masa yang sesuai maka kita akan buat perkara tersebut, sebab operasi pembenihan awan ini ia perlukan beberapa faktor yang sesuai.

"Walaupun cuaca panas kita perlukan hujan tetapi kalau keadaan awan ada angin dan sebagainya, jadi ada beberapa pemboleh ubah yang ada yang perlu ada sesuai sebelum sebarang operasi pembenihan awan dibuat," kata Nik Nazmi dalam sidang media Majlis Perasmian Sambutan Jubli Intan 70 Tahun Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) Kebangsaan, di Ibu Negara.

Beliau berkata NRES juga sedang memantau secara rapat fenomena cuaca panas yang melanda beberapa negeri dalam negara, antaranya di Sabah dan Perlis.

Setakat ini, sebanyak 23 kes strok haba dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejak awal tahun ini hingga Isnin lalu.

Kesemua kes berkenaan membabitkan negeri Kedah, Perak, Selangor, Sabah, Perlis dan Pahang.

Sementara itu, Nik Nazmi dalam ucapan perasmiannya berkata MAYC mempunyai hubungan baik dengan pihak kerajaan dan ia boleh dilihat menerusi penganjuran pelbagai program MAYC bersama agensi-agensi kerajaan di peringkat akar umbi dan antarabangsa.

"Saya dapat lihat kematangan MAYC dalam berorganisasi, mencipta peluang untuk meningkatkan imej pertubuhan belia, sekali gus menaikkan imej negara di mata dunia. Syabas saya ucapkan," katanya.

Pada majlis itu, seramai 10 pemimpin belia yang terdiri daripada bekas pengerusi negeri MAYC turut menerima pingat Anugerah Jasa Cemerlang atas sumbangan dan jasa bakti mereka dalam MAYC.

Turut hadir Menteri Pendidikan Fadlina Sidek dan Presiden MAYC Kebangsaan Al Hafizi Abu Bakar.

TETITIA YUSOFF