fb fb fb fb fb

LKIM jamin bekalan ikan di pasaran mencukupi

Foto Fail

BAGAN DATUK, 16 Mac- Bekalan ikan di pasaran dijamin mencukupi bagi menampung keperluan pengguna sepanjang Ramadan dan Aidilfitri ini.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata ia berdasarkan kepada lambakan tangkapan ikan ketika ini selepas musim Monsun Timur Laut (MTL) berakhir.

Menurutnya, LKIM akan terus memperkukuh kerjasama dengan agensi-agensi terlibat untuk memastikan bekalan ikan mencukupi dan tidak berlaku peningkatan harga.

"Insya-Allah bekalan ikan untuk perayaan ini mencukupi, memang musim ikan tengah banyak sekarang. Jadi, saya mengharapkan pemantauan daripada pihak KPDN supaya dapat mengawal harga ikan supaya stabil."

"Selain itu, insyallah kerjasama di antara kementerian-kementerian yang terbabit itu sedang dipergiat," kata Faiz Fadzil kepada pemberita dalam sidang media semasa Program Madani Anak Nelayan Kembali Ke Sekolah, di sini.

Pada program berkenaan, beliau menyerahkan sumbangan peralatan sekolah berupa baucer untuk pakaian, kasut dan beg kepada 100 anak nelayan sekitar kawasan Hutan Melintang membabitkan nilai keseluruhan RM15,000 hasil kerjasama LKIM bersama BHPetrol dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT).

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM