fb fb fb fb fb

KPK,LGM bekerjasama dengan agensi lain bantu pekebun kecil getah seluruh negara

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 16 Januari - Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) serta Lembaga Getah Malaysia (LGM) akan bekerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan bagi mewujudkan dasar yang lebih strategik dalam menjaga kebajikan pekebun kecil getah seluruh negara.

KPK memaklumkan, pihaknya memahami situasi yang dialami pekebun kecil khususnya semasa kejatuhan harga getah, justeru akan memastikan program serta aktiviti yang lebih tuntas dilaksanakan agar dapat meringankan beban golongan berkenaan.

"Kementerian amat prihatin mengenai isu kejatuhan harga getah dan kesannya kepada pekebun kecil getah dan penoreh di seluruh negara terutama dalam mendepani kehidupan tatkala berhadapan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat," demikian menurut kementerian itu menerusi kenyataan.

Justeru, beberapa siri perbincangan melibatkan pelbagai kementerian dan agensi berkaitan telah dibuat, untuk mengurangkan impak kejatuhan harga getah.

(FOTO HIASAN)

Kementerian turut melaksanakan beberapa langkah dan usaha bagi membantu pekebun getah dalam menghadapi situasi kejatuhan harga getah dan peningkatan kos sara hidup iaitu Insentif Pengeluaran Getah (IPG) bagi mengurangkan beban ekonomi pekebun kecil ketika harga getah rendah di pasaran di samping menggalakkan mereka terus menoreh.

"Melalui pelaksanaan IPG, pekebun kecil akan menerima harga getah peringkat ladang (50 peratus kandungan getah kering) sekurang-kurangnya pada harga RM2.50 sekilogram.

"Sejak IPG mula dilaksanakan pada September 2015 sehingga Disember 2022, IPG telah diagihkan kepada 202,533 pekebun kecil di seluruh negara dengan perbelanjaan berjumlah RM446 juta," menurutnya.

Kementerian juga melaksanakan Insentif Pengeluaran Lateks (IPL) untuk memberi peluang pekebun kecil menambah pendapatan dengan memberi galakan kepada mereka untuk meningkatkan pengeluaran lateks selain menggalakkan pekebun kecil beralih kepada menghasilkan susu getah berbanding getah sekerap.

"Bagi setiap peserta pekebun kecil getah yang menyertai program ini, mereka akan menerima insentif tunai sebanyak RM1.00 untuk sekilogram bagi 100 peratus kandungan getah kering (KGK).

"Peserta juga menerima bantuan di dalam bentuk input pertanian seperti baja dan racun yang bernilai RM850 bagi setiap hektar secara 'one-off'," menurut KPK.

KPK menambah, Projek Transformasi Perusahaan Getah Negara (TARGET) pula dilaksanakan bagi memastikan koperasi pekebun dan pengusaha ladang getah tempatan dapat meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah dengan cara memendekkan rantaian bekalan melalui penglibatan pekebun dalam rantaian industri getah (integrasi menegak).

"Projek ini dijangka dapat menambah nilai getah dan memberi pulangan dan pendapatan yang lebih baik kepada pekebun kecil," menurutnya.

Media Baharu