fb fb fb fb fb

KPF-SEGI jalin usahasama penjenamaan semula kedai D'Mart

Foto Facebook FELDA-Lembaga Tanah Persekutuan

BENTONG, 14 Mei - Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) menjalin usahasama dengan pengendali industri pasaraya segar dan runcit Segi Value Holding Sendirian Berhad bagi penjenamaan semula kedai D’Mart.

Pembukaan semula D’Mart dengan model perniagaan baharu menyasarkan barangan runcit dan segar dengan harga yang kompetitif  kepada komuniti di Tanah Rancangan FELDA.

Pengerusi FELDA, Datuk Sri Ahmad Shabery berkata, penjenamaan semula dengan nama D’Mart Segi Fresh yang diterajui KPF Trading Sendirian Berhad itu memberi lebih banyak manfaat kepada komuniti FELDA.

Menurutnya, sejak awal penubuhan, kedai runcit itu telah memberi kemudahan kepada warga peneroka untuk mendapatkan barangan runcit dengan lebih mudah.

Malah barangan segar seperti ayam, daging, makanan laut dan sayur-sayuran turut ditawarkan di samping barang runcitan lain yang berkualiti serta pada harga yang berpatutan.

Beliau sebelum itu berucap pada majlis perasmian pembukaan semula D’Mart Segi Fresh di Felda Mempaga Dua, di sini.

Tambahnya, cawangan itu akan menjadi titik permulaan kepada pembukaan semula cawangan D’Mart di seluruh Tanah Rancangan FELDA dengan imej baharu yang lebih segar, selain yakin ia akan memberi manfaat kepada komuniti itu untuk jangka masa panjang.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD