fb fb fb fb fb

KPDNHEP Melaka pantau harga makanan di semua premis

(Ketua Unit Siasatan Bekalan Dan Harga KPDNHEP Melaka, Ahmad Safwan Abd Aziz ketika ditemu bual Berita RTM)

AYER KEROH, 5 April - Seramai 96 pegawai dan anggota penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka melaksanakan aktiviti pemantauan di semua premis pasaraya, pasar pagi, bazar ramadan, bazar aidilfitri, hotel selain di peringkat pembekal dan peruncit.

Ops Pantau dilaksana bagi memastikan tidak berlaku kenaikan harga barangan yang boleh membebankan pengguna khususnya dalam tempoh bulan Ramadan dan fasa endemik ketika ini.

Menurut Ketua Unit Siasatan Bekalan Dan Harga KPDNHEP Melaka, Ahmad Safwan Abd Aziz, bagi sektor perhotelan, pihaknya memantau harga pakej-pakej berbuka puasa yang ditawarkan.

Tindakan tegas akan dikenakan kepada mana-mana pemilik premis atau individu yang didapati menjual barangan, makanan atau menawarkan pakej berbuka pada harga tidak munasabah.

"Kita hendak sampaikan kepada para peniaga khususnya daripada peringkat pengeluar, pemborong, peruncit untuk tidak menaikkan harga sesuka hati, menggunakan peralatan ataupun timbangan yang telah ditentu sahkan dan memastikan bahawa setiap perniagaan yang dijalankan mematuhi segala peraturan yang telah digariskan, ini termasuklah di bawah perintah penandaan harga, perihal dagangan timbang sukat dan juga yang lain-lain," kata beliau ketika ditemu bual wartawan Nurul Ashikin Abdul Halim, di sini.

Jelas Ahmad Safwan, dalam tempoh awal Ramadan ini, pemantauan pihaknya mendapati harga barangan khususnya makanan masih dijual pada harga berpatutan dan mengikut kadar ditetapkan.


(Gambar fail)

Sementara itu, bagi peniaga, walaupun terdapat kenaikan harga bekalan namun, mereka berusaha untuk menjual produk makanan pada harga yang tidak membebankan pengguna.

"Pada pendapat saya harga barang kasar yang kami beli adalah berpatutan dengan harga yang kami jual lah untuk pembeli, jadi tidak terlalu membebankan untuk pembelilah," kata Abdullah Umar Amir Shaidin.

"Kalau harga barang memang dah naik mcm tepung dah RM3 sekilogram, bawang pun dan RM3 sekilogram, minyak lagi susah dapat, tapi harga saya jual masih kekal RM4, Insya-Allah ada untung sikit tapi tak banyak lah, boleh untung lagi lah," kata Ujang Sumin.

"Harga jualan makanan, semalam saya ada pusing di sekitar tapak ni tak nampak perubahan sangat cuma kita pastikan bahawa setiap peniaga perlu meletakkan tanda harga, dan tanda harga tu perlulah tidak begitu mahal dan berkemampuan, mampu orang membeli," kata Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Bazar Ramadan Masjid Al-Alami, MITC.

Para pembeli pula menyifatkan harga makanan yang dijual masih pada tahap yang berpatutan.

"Setakat ini saya rasa ok je, semua (makanan) ini tiada yang mahal-mahal pun, sangat mampu milik," menurut Mohd Akif Aiman Mohd Azmi

"Harga masih lagi berpatutan pada saya, dengan situasi, dengan makanan ini amat berpatutan lah," kata Mohd Nasir Mohamad.

Media Baharu