fb fb fb fb fb

Bantuan Khas Aidilfitri RM500 kepada penjawat awam dan pesara RM250

(Foto fail)

PUTRAJAYA, 5 April- Kerajaan bersetuju untuk memberi Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah, manakala RM250 kepada Pesara Kerajaan.  

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bantuan itu termasuk kakitangan bawah skim 'Contract Of Service', 'Contract For Service', Pegawai Sambilan Harian serta lantikan bawah MySTEP.

“Pembayaran bagi bantuan khas ini akan dibuat bersama dengan pembayaran gaji bulan April iaitu pada 25 April 2022,” menurut kenyataan media Perdana Menteri.


(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob/Foto fail)

Sebanyak RM923 juta diperuntukkan bagi tujuan pembayaran bantuan khas itu yang akan memanfaatkan lebih 2 juta penjawat awam dan pesara.

“Pengumuman pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri pada tahun ini dibuat lebih awal sebagai salah satu langkah keprihatinan kerajaan dalam membantu mereka (rakyat) membuat perancangan awal dan persiapan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri,” kata Perdana Menteri.

Pemberian itu juga bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada Keluarga Malaysia.

Penyaluran bantuan itu juga diharap dapat meringankan beban kewangan kepada penjawat awam dan pesara serta dijadikan sebagai pemangkin kepada mereka untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi.

Media Baharu