(Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid)
KUALA TERENGGANU, 21 Ogos - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesa premis peniagaan makanan menurunkan kembali harga jualan mereka mengikut harga semasa barangan mentah.
Ia susulan harga barangan mentah di pasaran semakin menunjukkan penurunan seperti harga ayam segar.
Jelas Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid, tindakan kompaun boleh dikenakan terhadap mana-mana peniaga sekiranya terdapatnya laporan dan pihaknya mengesan berlakunya harga jualan tidak berpatutan serta tidak munasabah.
Pihak KPDNHEP juga tidak teragak-agak mengerahkan anggotanya membuat penyamaran bagi mengesan aktiviti penjualan harga yang melampau di seluruh negara.
(Foto fail)
"Cuma kalau ada laporan contohnya dia kata dua minggu lepas dia beli dengan harga sekian, kemudian hari ini harga meningkat mendadak, kita berdasarkan laporan tersebut, kita boleh siasat, sekarang ini dari segi 'detail' (perincian) tak ada, tapi setiap negeri ada, ada penyamaran di setiap negeri, terutama di negeri-negeri maju, negeri-negeri yang apa yang banyak kedai-kedai makan sebegini, penyamaran itu akan lebih kerap lah, dengan pegawai-pegawai terlibat," kata beliau selepas Majlis Ramah Mesra Sempena Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pegawai Syariah Negeri Terengganu Tahun 2022, di sini hari ini.
Sebelum ini harga ayam segar yang mencecah sehingga belasan ringgit sekilogram, telah pun ditetapkan pihak kerajaan pada harga siling iaitu RM9.40 sekilogram.
Malah harga sewa di premis jualan milik kerajaan juga diberikan potongan harga untuk memastikan jualan bahan mentah tidak naik serta dimanipulasikan oleh sesetengah pihak.