MELAKA, 14 Januari- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menumpukan penguatkuasaan di empat negeri terlibat dalam Tahun Melawat Negeri 2024 iaitu Melaka, Perlis, Perak dan Kelantan.
Menteri KPDN Datuk Armizan Mohd Ali berkata, usaha itu penting dalam melonjakkan ekonomi perdagangan domestik dan sekali gus memberi manfaat kepada para peniaga dalam merancakkan industri pelancongan dalam negara.
Pihaknya akan menggiatkan penguatkuasaan di negeri-negeri terlibat bagi memastikan para peniaga patuh kepada amalan aktiviti jual beli yang beretika.
"Untuk memberikan kesedaran dan kefahaman kepada para peniaga agar mereka mematuhi kod etika peraturan dan juga perundangan berkaitan dengan perniagaan.
"Jadi kita mahu dia datang bersama pematuhan tersebut," katanya dalam Sesi Advokasi (Biz-BERKAT) di sekitar Jonker Walk di sini.
Risikan dan penguatkuasaan dalam menangani aktiviti pencatutan dan manipulasi harga oleh peniaga mengikut akta kawalan harga dan anti pencatutan turut dilaksanakan KPDN.
Dalam masjlis sama KPDN turut memperkenalkan Advokasi Berniaga Patuh Kod Etika dan Perundangan (Biz-BERKAT), bermula tahun ini.
Inisiatif itu adalah untuk meningkatkan kesedaran dan komitmen dalam kalangan para peniaga untuk mematuhi kod etika, peraturan dan undang-undang perniagaan selain memastikan aktiviti penguatkuasaan seiring dengan pematuhan kod etika dan perundangan bawah teras strategi Ketangkasan Penguatkuasaan.
Perkara itu termasuk pematuhan kepada Akta Perihal Dagangan 2011 seperti larangan maklumat dan perihal dagangan palsu ke atas barang-barang, harga dan perkhidmatan termasuk berkaitan pensijilan halal.
Walkabout Advokasi Biz-BERKAT dilaksanakan tahun ini bermula dengan negeri Melaka sempena dengan Tahun Melawat Melaka (TMM2024).