fb fb fb fb fb

KPDN Tawau tahan 3 lelaki dan rampas minyak diesel bersubsidi

TAWAU, 21 Disember - Tiga lelaki tempatan ditahan serta 23,800 liter minyak diesel bersubsidi dirampas dalam serbuan di kawasan Jalan Air Panas, di sini, semalam, kata Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Tawau, Sam Aminudin dalam satu kenyataan.

Sam berkata, menerusi serbuan kira-kira pukul 3.00 petang itu, tiga lelaki berkenaan berusia antara 30 hingga 40 tahun sedang melakukan pemindahan minyak diesel daripada lori tangki ke dalam sebuah tangki besi yang diubah suai di stor penyimpanan haram minyak diesel bersubsidi.

"Rampasan bernilai RM284,320 dilakukan membabitkan tiga lori, minyak diesel, tujuh unit hos, sebuah kompresor, sebuah tangki besi diubah suai berkapasiti 6,000 liter serta empat unit tong dram yang setiap satu berkapasiti 200 liter," katanya.

Sam berkata kes disiasat mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

(FOTO HIASAN)

Dalam pada itu, beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi boleh menyalurkan aduan kepada pihak kementerian melalui aplikasi WhatsApp di talian 019-2794317.

Katanya, ia juga boleh disalurkan menerusi portal (e-aduan.kpdnhep.gov.my), emel (Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.) atau menghubungi talian bebas tol 1-800-886-800.

Media Baharu