fb fb fb fb fb

Pegawai LHDN rugi lebih RM500,000 ditipu tukang tilik

PULAU PINANG, 21 Disember- Seorang tukang tilik warga India dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, atas pertuduhan menipu sehingga mangsa mengalami kerugian lebih RM500,000 antara Mac hingga Oktober lalu.

Tertuduh, N. Prakash, 24 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Mohd. Harith Mohd Mazlan.


(Tertuduh, N. Prakash, 24 tahun mengaku tidak bersalah) 

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menipu seorang Pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri berusia 59 tahun dengan memperdayakan mangsa bahawa tertuduh boleh mengubat penyakit dan menilik nasib sehingga mangsa menyerahkan wang berjumlah RM516,450.

Kesalahan tersebut dilakukan di sebuah rumah di Nombor 20, Lorong Perda Selatan 2, Bandar Perda, Bukit Mertajam antara 23 Mac hingga 18 Oktober 2022.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Nurul Nadia Jamal, manakala tertuduh diwakili peguam, R. Kumarappan.

Hakim Mohd Harith membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan dua orang penjamin rakyat tempatan.

Tertuduh juga dikehendaki menyerahkan pasport dan melapor diri di balai polis berdekatan pada setiap Isnin, dua minggu sekali.

Mahkamah menetapkan 31 Januari ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Media Baharu