fb fb fb fb fb

KPDN sita 79 tong LPG bersubsidi di Tasik Banding

Foto KPDN Perak

IPOH, 4 September - Sebanyak 79 tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi yang digunakan tanpa kebenaran, disita dalam serbuan di sebuah rumah terapung di Tasik Banding, Gerik semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail, berkata serbuan pada pukul 1.30 tengah hari itu dilakukan hasil maklumat risikan dan pemantauan anggota penguat kuasa selama seminggu di lokasi berkenaan.

"Hasil serbuan menjumpai 79 tong LPG bersubsidi 12 kilogram yang disalahguna bagi tujuan pemanasan air untuk perawatan ikan.

"KPDN mengambil tindakan menyita 79 tong LPG itu dan beberapa dokumen berkaitan dengan nilai sitaan dianggarkan RM7,460," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pemilik rumah terapung itu disiasat mengikut Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974 kerana menyimpan barang kawalan berjadual tanpa permit.

Pembekal LPG terbabit turut disiasat mengikut Peraturan 9(2) PPKB 1974 kerana menjual barang kawalan berjadual kepada pihak tidak dibenarkan dan menjadi satu kesalahan mengikut Peraturan 21(1) PPKB 1974.

Trainee