KUALA LUMPUR, 5 Oktober - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyasarkan untuk memperluas Insiatif Dapur Digital ke 50 lokasi seluruh negara tahun hadapan.
Timbalan Menterinya, Datuk Dr Fuziah Salleh, berkata sasaran itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa ekonomi komuniti B40, khususnya golongan wanita agar terus berdaya saing melalui platform keusahawanan digital.
“Belanjawan 2025 telah memperuntukkan sebanyak 25 Dapur Digital, di mana 15 daripadanya telah pun dilaksanakan dan hari ini kita merasmikan yang ke-13.
"Masih ada 10 lagi dalam perancangan, insya-Allah akan diselesaikan menjelang hujung tahun ini.
"Matlamat utama Dapur Digital ini adalah untuk memperkasa ekonomi komuniti B40, khususnya di kawasan seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR).”
“Saya juga dimaklumkan bahawa tahun hadapan sasaran akan ditingkatkan kepada 50 lokasi daripada 25 pada tahun ini kepada 50 tahun depan, Insya-Allah sama-sama kita nantikan", katanya demikian selepas merasmikan Dapur Digital di Perumahan Awam Seri Perlis 2, di sini.
Tambahnya, peserta Dapur Digital yang menawarkan Menu Rahmah akan menerima Kad Diskaun Menu Rahmah, yang membolehkan mereka menikmati potongan harga antara 10 hingga 30 peratus di pasar raya dan jualan Rahmah terpilih.
Langkah itu, katanya, bertujuan membantu peniaga mengurangkan kos operasi agar dapat menawarkan Menu Rahmah secara mampan kepada pengguna berpendapatan rendah.