fb fb fb fb fb

SPRM perkukuh kerjasama komuniti melalui Program Desa Bebas Rasuah 2025

Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Timbalan Pesuruhjaya Mohamad Zakkuan Talib/RTM

KUALA LUMPUR, 5 Oktober – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur terus komited menyampaikan mesej antirasuah kepada masyarakat melalui penganjuran Program Desa Bebas Rasuah (DBR) 2025 yang diadakan sempena Sambutan Ulang Tahun SPRM ke-58.

Program anjuran Cawangan Pendidikan Masyarakat SPRM Kuala Lumpur itu menjadi platform bagi memperkukuh kefahaman rakyat terhadap bahaya rasuah serta menggalakkan pembabitan komuniti dalam membentuk budaya integriti di peringkat akar umbi.

Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Timbalan Pesuruhjaya Mohamad Zakkuan Talib, berkata kerjasama masyarakat amat penting dalam usaha memerangi gejala rasuah yang boleh menjejaskan pembangunan negara.

''Setakat ini, kita sangat menghargai kerjasama rapat daripada komuniti dalam memastikan mereka berani tampil ke hadapan membuat laporan rasuah, sama ada melibatkan urusan dengan agensi kerajaan atau sesama masyarakat,” katanya ketika merasmikan program tersebut di ibu kota.

Antara pengisian menarik sepanjang program ialah Forum Antirasuah: “Membina Generasi Tanpa Rasuah” yang menampilkan pelakon terkenal Ebby Yus dan tokoh masyarakat Khairul Salleh bin Hasan sebagai panel jemputan.

Pelbagai aktiviti santai turut diadakan, termasuk pertandingan mewarna kanak-kanak bertemakan integriti, pameran interaktif SPRM, serta kaunter perkhidmatan agensi rakan strategik.

Selain itu, Jualan Rahmah oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), jualan hasil tani segar oleh FAMA, serta cabutan bertuah menarik tajaan Bank Islam turut memeriahkan program.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD