BUKIT RAMBAI, 5 Oktober - 758 pesakit mental menerima rawatan di klinik kesihatan seluruh Melaka sejak 2021 sehingga Jun tahun ini.
Hampir separuh daripadanya menghidap kemurungan.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, daripada jumlah itu, 48 peratus kemurungan, 24 peratus (gangguan keresahan) dan 18 peratus (skizofrenia).
Kira-kira 600 merupakan pesakit baharu, manakala 159 pesakit dirujuk atau 'stepdown' dari Hospital Melaka untuk meneruskan rawatan di Klinik Kesihatan.
Bagi memperkukuh sokongan di peringkat akar umbi, Kementerian turut melaksanakan program bagi melatih melatih ketua komuniti sebagai ejen advokasi.
"Dan kita juga ada sediakan kaunseling dan program seperti minda sihat untuk kita latih pemimpin komuniti. Mereka kemudian akan menyebarkan kesedaran ke komuniti untuk memberi nasihat apa yang mereka harus buat seperti langkah pencegahan kepada semua penduduk."
"Kita akan nasihatkan juga kalau komuniti ada masalah mental, kita akan minta mereka ke Klinik Kesihatan berdekatan," tambahnya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Hari Mental Sedunia Peringkat Negeri Melaka di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Rambai.
Tambahnya, tema sambutan “Meningkatkan Akses kepada Perkhidmatan Sokongan dan Kesihatan Mental Semasa Krisis dan Bencana” juga dilihat amat bertepatan dengan cabaran dunia hari ini yang berdepan bencana alam, perubahan iklim serta pandemik global.