KPDN sasar kurangkan kuota minyak masak paket kepada 50,000 tan metrik

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 12 November – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyasarkan pengurangan kuota minyak masak paket kepada 50,000 tan metrik secara berperingkat, berbanding 55,000 tan metrik ketika ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Langkah pengurangan kuota kesinambungan usaha kerajaan menangani ketirisan subsidi melalui penambahbaikan pengurusan dan pemantauan pengagihan.
  • Hasil audit dalaman KPDN dan Jabatan Audit Negara mengenal pasti ketirisan serta penyeludupan dalam pelaksanaan program.
  • KPDN memperkenalkan sistem eCOSS dan aplikasi mudah alih dengan kod QR untuk merekod pembelian serta memantau subsidi secara berkesan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah itu merupakan kesinambungan usaha kerajaan menangani ketirisan subsidi menerusi penambahbaikan pengurusan dan pemantauan pengagihan minyak masak paket.

Kuota berkenaan sebelum ini ditetapkan sebanyak 60,000 tan metrik sebelum dikurangkan kepada 55,000 tan metrik dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.

“Kita telah berjaya mengurangkan kuota itu kepada 55,000 tan metrik dalam tempoh dua tahun, berbanding tiada pengurangan dilaksanakan sepanjang 10 tahun sebelum ini. Kita menyasarkan kuota berkenaan dapat dikurangkan lagi kepada 50,000 tan metrik,” katanya ketika menggulung perbahasan di Dewan Rakyat, hari ini.

Usaha itu turut mengambil kira hasil audit dalaman KPDN dan Jabatan Audit Negara yang mengenal pasti isu ketirisan serta penyeludupan dalam pelaksanaan program berkenaan.

Sehubungan dengan itu, KPDN telah memperkenalkan sistem eCOSS pada Mei 2023 sebelum memperluas pemantauan melalui aplikasi mudah alih bagi merekodkan pembelian minyak masak paket menggunakan kod QR.

Data daripada sistem berkenaan penting bagi membolehkan kerajaan membuat keputusan berkaitan pengurangan dan penyasaran subsidi secara lebih berkesan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.