Harga siling minyak masak botol 5kg kekal pada RM30.90

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 12 November – Kerajaan mengekalkan harga siling minyak masak botol lima kilogram (kg) pada RM30.90 menerusi mekanisme intervensi susulan peningkatan harga minyak sawit mentah (CPO) yang memberi tekanan kepada kos pengeluaran industri.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jemaah Menteri lulus mekanisme intervensi untuk menangani tekanan harga minyak masak botol ketika harga CPO meningkat.
  • Menteri berkata tanpa intervensi harga minyak masak botol 5kg boleh naik ke RM34 berdasarkan harga CPO Oktober RM4,400 satu tan.
  • Peningkatan harga CPO memberi tekanan kepada pengilang sehingga sebuah syarikat menghentikan pengeluaran minyak masak botol.
  • Langkah turut mengambil kira penjimatan hasil pengurangan kuota minyak masak paket yang dilaksanakan secara berperingkat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, tanpa mekanisme berkenaan, harga minyak masak botol lima kilogram boleh mencecah harga RM34 berdasarkan harga CPO pada Oktober lalu sebanyak RM4,400 satu tan.

“Pada Oktober, harga minyak masak mencecah RM4,400 bagi setiap tan, yang sepatutnya menyebabkan harga minyak masak kemasan botol lima kilogram meningkat kepada RM34.

“Bagaimanapun, menerusi mekanisme yang dilaksanakan, harga siling berjaya dikekalkan pada RM30.90,” katanya ketika menggulung perbahasan di Dewan Rakyat, hari ini.

Peningkatan harga CPO turut memberi tekanan kepada pengilang sehingga terdapat sebuah syarikat yang menghentikan pengeluaran minyak masak botol.

Sehubungan dengan itu, Jemaah Menteri telah meluluskan pelaksanaan mekanisme intervensi bagi membolehkan kerajaan menangani tekanan harga minyak masak botol ketika harga CPO meningkat.

Langkah berkenaan turut mengambil kira penjimatan daripada pengurangan kuota minyak masak paket yang dilaksanakan secara berperingkat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.