
KUALA LUMPUR, 12 November – Malaysia memilih Turkiye sebagai pembekal alternatif bagi menggantikan perolehan peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM), susulan kegagalan mendapatkan bekalan daripada Norway.
- Rundingan lanjut akan memperinci harga, tempoh penyerahan dan kos keseluruhan perolehan peluru berpandu.
- Peluru berpandu sama jenis dengan tempahan untuk Kapal Misi Pesisir, dijangka tidak menimbulkan kelewatan dan mungkin diserahkan seawal 2028.
- Norway membatalkan lesen eksport NSM; Malaysia akan bawa tuntutan ke Jawatankuasa Penyelesaian Pertikaian, seterusnya timbang tara jika perlu.
Rundingan lanjut akan diadakan dengan pihak Turkiye bagi memperinci cadangan berkenaan, termasuk aspek harga, tempoh penyerahan dan kos keseluruhan perolehan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin berkata, peluru berpandu berkenaan adalah daripada jenis yang sama seperti yang telah ditempah untuk Kapal Misi Pesisir (LMS) negara sekali gus tidak akan menimbulkan sebarang isu kelewatan penghantaran.
“Sekiranya tempahan baharu dibuat sekalipun, proses perolehan lazimnya mengambil masa sekitar 30 bulan atau kira-kira dua tahun setengah hingga tiga tahun, sekali gus membolehkan ia diterima menjelang tahun 2029.
“Bagaimanapun, memandangkan tempahan bagi kapal LMS telah pun dibuat lebih awal, peluru berpandu berkenaan dijangka dapat dibekalkan lebih cepat, berkemungkinan seawal tahun 2028, ” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan hari inovasi peringkat kementerian pertahanan tahun 2026 di Wisma Pertahanan, di sini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Malek Razak Sulaiman.
Terdahulu, Kerajaan Norway membatalkan lesen eksport dan menguatkuasakan sekatan penghantaran peluru berpandu NSM ke Malaysia, walaupun sebahagian besar nilai kontrak berkenaan telah dibayar oleh pihak Malaysia.
Susulan pembatalan itu, Kerajaan Malaysia akan membawa isu tuntutan semula bayaran daripada syarikat terlibat ke Jawatankuasa Penyelesaian Pertikaian (Dispute Resolution Committee) selepas rundingan secara baik (Amicable Solution) gagal mencapai kata sepakat.
Sekiranya proses peringkat kedua ini masih buntu, Datuk Seri Khaled berkata tindakan timbang tara akan diambil mengikut terma kontrak yang dipersetujui.