Kerajaan perketat syarat pelaporan untuk insiden pusat data

Majlis Perasmian Minggu Kesiapsiagaan AI Kebangsaan 2026 di ibu negara

KUALA LUMPUR, 12 November – Kerajaan berhasrat memperkukuh syarat pelaporan dengan mewajibkan pengendali pusat data memaklumkan kepada pihak berkuasa berkaitan dengan segera sekiranya berlaku sebarang insiden yang menjejaskan operasi infrastruktur digital.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mekanisme pemakluman mesti menetapkan jenis insiden, tindakan diambil dan sektor berpotensi terjejas.
  • Ketiadaan mekanisme khusus boleh menghalang pihak berkuasa menerima maklumat ketika insiden seperti banjir merosakkan pusat data.
  • Kerajaan galak pelabur bina bekalan tenaga dan air bagi menampung peningkatan keperluan operasi pusat data.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, mekanisme pemakluman itu perlu menetapkan jenis insiden, tindakan yang diambil serta sektor yang berpotensi terjejas akibat gangguan berkenaan.

“Sekiranya seluruh negara atau sebahagian besarnya bergantung kepada pusat data dan berlaku gangguan, kita perlu mula memikirkan kaedah untuk mengawal selia infrastruktur berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Minggu Kesiapsiagaan AI Kebangsaan 2026 di ibu negara di sini.

Langkah itu penting memandangkan semakin banyak sektor industri dan aktiviti ekonomi bergantung kepada pusat data bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan digital.

Ketiadaan mekanisme pelaporan khusus boleh menyebabkan pihak berkuasa tidak dimaklumkan sekiranya berlaku insiden seperti banjir yang merosakkan kemudahan pusat data.

Dalam perkembangan berkaitan, Pasukan Petugas Pusat Data (DCTF) yang dipengerusikannya bersama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, turut meneliti cabaran perkembangan pesat industri berkenaan.

Gobind berkata, Kerajaan juga sedang meneroka langkah menggalakkan pelabur membangunkan infrastruktur bekalan tenaga dan air bagi menampung peningkatan keperluan operasi pusat data.

Menurutnya, pengumuman pelaburan terbaharu Google bukan hanya melibatkan pembangunan pusat data, malah turut merangkumi pembangunan ekosistem sokongan di Malaysia.

“Jika diteliti pengumuman yang dibuat, tumpuan bukan hanya kepada pembangunan pusat data, malah turut merangkumi usaha membina ekosistem berkaitan dengannya.

“Memandangkan kita bakal berdepan dengan permintaan dan keperluan tenaga yang besar pada masa depan, kita mula membincangkan kemungkinan syarikat-syarikat ini turut membangunkan bekalan tenaga dan air bagi menampung operasi pusat data mereka,” menurutnya.

Ketika mengulas mengenai kedudukan Malaysia di tempat ke-27 daripada 70 negara dalam penarafan daya saing digital dunia (berkaitan AI) menerusi IMD, beliau berkata tumpuan kini harus beralih kepada memastikan pelaburan dalam infrastruktur AI dapat menjana manfaat ekonomi yang nyata.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.