
BANGI, 12 November – Sebanyak 143 perjawatan pegawai diluluskan untuk mempercepat proses pengelolaan Pusat Mediasi MADANI (PMM) yang antaranya menawarkan perkhidmatan guaman serendah RM10 kepada rakyat.
- Pengantara PMM mempercepat dan mempermudah penyelesaian pertikaian alternatif, mengurangkan kos dan tempoh penyelesaian kes.
- Rakyat boleh hadir ke Jabatan Bantuan Guaman untuk mediasi PMM tanpa perlu melalui mahkamah.
- PMM dibangunkan bersama USIM dan APN untuk mengangkat perkhidmatan guaman ke era baharu berpaksikan rakyat.
- 210 peserta menerima sijil kursus dan Buku Panduan PMM dilancar sebagai rujukan utama tatacara, etika dan standard pengantaraan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata perjawatan berkenaan akan bertindak sebagai pengantara kpada penyelesaian pertikaian alternatif yang lebih mudah, cepat, berkesan dan berorientasikan kepentingan rakyat sekali gus mengurangkan kos serta tempoh penyelesaian sesuatu kes.
“Dengan adanya pengantara ini, rakyat mampu hadir ke Jabatan Bantuan Guaman (JBG) tanpa perlu melalui ke mahkamah untuk menjalani proses mediasi di bawah PMM,” katanya.
Mengulas lanjut, Datuk Seri Azalina turut berkata pembangunan PMM anjuran bersama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Akademi Perundangan Negara (APN) bertujuan mengubah aspek tradisional yang masih diamalkan dengan mengangkat proses perkhidmatan guaman ke era baharu, berpaksikan sudut pandangan berteraskan rakyat.
Beliau turut berharap pembangunan PMM dapat memupuk budaya baharu dalam kalangan rakyat dalam mendapatkan khidmat guaman selain bantuan sedia ada termasuk Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Datuk Seri Azalina ditemui selepas merasmikan Majlis Penyerahan Sijil Kursus Pensijilan Profesional Pengantaraan dan Sijil Lantikan Pengantara serta Pelancaran Buku Panduan PMM JBG Tahun 2026 di Dewan Auditorium APN di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Pengarah Bantuan Guaman, Mohd Radhi Abas memaklumkan seramai 210 peserta menerima sijil kursus berkenaan dan jumlah peserta dijangka terus bertambah pada penganjuran tahun hadapan.
Selain itu, majlis penyerahan sijil turut menyaksikan pelancaran Buku Panduan Pusat Mediasi MADANI (PMM) yang dibangunkan oleh JBG sebagai rujukan utama dalam memastikan tatacara pengendalian kes, etika profesional dan standard perkhidmatan pengantaraan dilaksanakan secara sistematik dan seragam di seluruh negara.