fb fb fb fb fb

KPDN rampas lebih 13,000 liter diesel

Foto hiasan

PUTRAJAYA, 10 Februari- 13,300 liter minyak diesel bersubsidi dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam dua operasi Ops Tiris 3.0 di Changlun dan Bukit Kayu Hitam, Kedah, minggu lepas.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam dalam kenyataan berkata, pasukan penguat kuasa KPDN Putrajaya turut menahan sembilan lelaki yang mengaku bekerja di kedua-dua premis terbabit dalam operasi sekitar pukul 11.40 malam itu.

"Hasil maklumat awal yang diperolehi, modus operandi sindiket ini adalah mengisi minyak diesel daripada beberapa buah stesen minyak di sekitar Changlun dan Bukit Kayu Hitam dengan menggunakan lori yang telah diubah suai.

"(minyak) dibawa ke lokasi serbuan yang merupakan stor haram sebagai tempat untuk menyimpan dan memindahkan minyak diesel sebelum dijual di pasaran gelap," kata kenyataan itu.

Azman berkata pihaknya turut menyita sebuah lori, beberapa tangki IBC yang berisi minyak diesel, pam bermotor, paip penyambung, beberapa dokumen berkaitan serta peralatan lain yang bernilai keseluruhan RM75,745.

Bagaimanapun siasatan lanjut dijalankan bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat terlibat dalam aktiviti serta rantaian pengedaran selain sumber minyak diesel tersebut.

Jika sabit kesalahan, seseorang individu boleh didenda RM1 juta dan bagi kesalahan berikutannya RM3 juta atau kedua-duanya, manakala bagi syarikat pula, boleh didenda RM2 juta dan RM5 juta bagi kesalahan berulang.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI