fb fb fb fb fb

KPDN Perak sita 36,300 liter minyak diesel bersubsidi, tahan dua lelaki

(FOTO KPDN)

TELUK INTAN, 10 Disember- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyita 36,300 liter minyak diesel bersubsidi dalam satu serbuan di sebuah premis di kawasan Perindustrian Anson, Teluk Intan, Perak.

Pengarahnya, Saifullizan Kamarul Zaman berkata serbuan kira-kira pukul 10.45 pagi itu turut merampas sebuah lori dengan nilai keseluruhan rampasan melebihi RM78,000.

Hasil pemeriksaan di premis tersebut menemui 41 buah ‘square tank’ berkapasiti 1,000 liter berisi minyak disyaki diesel serta sebuah lori dengan muatan dua buah square tank.

Premis tersebut disyaki telah beroperasi lebih kurang sebulan tanpa sebarang lesen atau kebenaran untuk menyimpan barang kawalan minyak diesel.

Modus operandi sindiket adalah dengan membeli minyak diesel di stesen minyak sekitar Teluk Intan, dikumpulkan dan seterusnya dipercayai akan dijual kepada pihak industri di negeri sempadan.

Siasatan lanjut akan diteruskan dengan mengenal pasti rangkaian sindiket yang terlibat.

Hasil serbuan tersebut, pihaknya turut menahan dua lelaki berumur 42 dan 45 tahun.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.


(FOTO KPDN)

Media Baharu