SEREMBAN, 10 Mac - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan menyasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus lot bazar Ramadan di negeri itu disediakan bagi melaksanakan konsep Menu Rahmah.
Pengarahnya Muhammad Zahir Mazlan, berkata pihaknya sedang dalam perbincangan dan mengadakan taklimat dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta penganjur bagi menyediakan Menu Rahmah di gerai masing-masing sekali gus membantu golongan tidak bernasib baik mendapatkan juadah berbuka pada harga berpatutan.
"Di seluruh Negeri Sembilan ramai pengusaha buat sendiri Menu Rahmah jadi selain daripada yang buat sendiri kita terpanggil supaya pengusaha restoran ini daftar dengan kami supaya kita boleh 'update' portal dan direktori supaya dari situ kita bantu promosi pengusaha makanan ini yang menawarkan Menu Rahmah supaya pengetahuan dan hebahan lebih meluas, kalau yang tak ada dalam direktori ini susah kami nak bantu promosi," kata beliau ketika ditemui pada Majlis 'Walkabout Cintai Asnaf Back To School' di sini.
(Pengarah KPDN Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan ditemu bual media selepas
Majlis 'Walkabout Cintai Asnaf Back To School' di Seremban 2)
Dalam perkembangan lain, sehingga kini sebanyak 35 premis makanan yang berdaftar di Negeri Sembilan telah menyediakan Menu Rahmah termasuk di restoran makanan segera dan pasar raya selain ramai pengusaha yang berbuat demikian atas inisiatif sendiri.
Muhammad Zahir turut menyeru semua pengusaha restoran dan kedai makan untuk berdaftar di portal kementerian itu bagi mempromosikan premis masing-masing yang menawarkan konsep itu selain memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat lokasi berkenaan.