fb fb fb fb fb

KPDN N9 tahan pemandu lori, rampas 2,000 liter diesel diseleweng

(FOTO KPDN NEGERI SEMBILAN)

SEREMBAN, 7 Oktober- Pasukan Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan menahan seorang lelaki dan merampas 2,000 liter minyak diesel bersubsidi dipercayai diseleweng, dalam Ops Tiris, malam tadi.

Pengarahnya Muhammad Zahir Mazlan berkata, dalam serbuan yang dibuat di Stesen Minyak Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban Arah Selatan, kira-kira pukul 11.10 malam itu, diesel yang dirampas dianggarkan bernilai RM4,300.

Beliau berkata, turut disita dalam serbuan tersebut, sebuah lori, motor pam serta hos dan 4 unit tangki IBC yang menjadikan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM15,700..

"Pemandu lori tersebut, lelaki, warga tempatan, berusia 43 tahun, telah ditahan kerana disyaki telah berurusan dengan barang kawalan berjadual tanpa lesen/ permit yang sah dan melanggar Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Peraturan 3(1) Peraturan- Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

"Tindakan bawah Op Tiris yang melibatkan seramai lima orang anggota tersebut dibuat hasil pemantauan serta pemerhatian yang dibuat oleh anggota pasukan serbuan di stesen minyak tersebut,"katanya.

Jelas Muhammad Zahir, tindakan pemandu lori yang membuat pengisian minyak diesel dalam jumlah yang besar membawa kepada penemuan empat unit tangki IBC di atas lori tersebut semasa pemeriksaan.

Pemeriksaan menyeluruh ke atas lori mendapati dua daripada empat unit tangki IBC di atas lori tersebut mengandungi minyak diesel.


(FOTO KPDN NEGERI SEMBILAN)

Media Baharu