fb fb fb fb fb

Jambatan Bagan Datuk dirasmikan, kini dikenali sebagai Jambatan Sultan Nazrin Shah

(Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat menyaksikan pertunjukan air oleh Agensi
Penguatkuasaan Maritim Malaysia (MARITIM) di bahagian tengah jambatan tersebut)

BAGAN DATUK, 7 Oktober- Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan merasmikan Jambatan Bagan Datuk, di sini, hari ini.

Baginda juga berkenan jambatan sepanjang kira-kira 1.5 kilometer yang bernilai RM460 juta merentasi Sungai Perak itu, dinamakan Jambatan Sultan Nazrin Shah.

Keberangkatan baginda dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim disambut Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.


(Sultan Nazrin Shah berkenan merasmikan Jambatan Bagan Datuk yang kini dikenali sebagai Jambatan Sultan Nazrin Shah)

Turut hadir Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Turut berangkat Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris dan Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa.

Majlis dimulakan dengan lagu kebesaran negeri Perak diikuti bacaan al-Quran dan doa sebelum Sultan Nazrin menyempurnakan lafaz perasmian dan menandatangani plak.

Baginda kemudian berkenan berangkat menyaksikan pertunjukan air oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (MARITIM) di bahagian tengah jambatan tersebut.

Jambatan yang menghubungkan kawasan Parlimen Pasir Salak dan Bagan Datuk ini akan menjimatkan masa dengan hanya kurang 15 minit sahaja. 

Sebelum ini, perjalanan akan mengambil masa lebih sejam dengan jarak perjalanan melebihi 50 kilometer.

Media Baharu