KOTA BHARU, 2 MAC-Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memohon kepada kerajaan untuk memberikan insentif kepada pengusaha di negara ini yang menawarkan Menu Rahmah.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, beliau memanjangkan permohonan tersebut kepada pihak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) dalam masa terdekat.
"Melalui peruntukan itu kita akan mohon insentif atau apa-apa panduan khusus kepada pemain industri untuk mendapatkan bimbingan", katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Menu Rahmah Peringkat Kelantan di Restoran Al Khalish, Pasir Tumboh di sini hari ini.
Setakat ini lebih 1,142 premis makanan di seluruh negara menawarkan
Menu Rahmah.
Daripada jumlah itu, lebih 90 premis di Kelantan sudah mengemukakan permohonan untuk menjayakan program tersebut dan jumlah itu dijangka akan terus bertambah dari semasa ke semasa.
Inisiatif Menu Rahmah dilancarkan Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada pada 31 Januari lalu bertujuan membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.
(Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub/Foto RTM)