fb fb fb fb fb

KPDN Kedah beri jaminan bekalan gula terkawal, mencukupi

(Foto KPDN Kedah)

ALOR SETAR, 1 Jun- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah memberi jaminan bekalan gula terkawal dan mencukupi untuk memenuhi keperluan pengguna di negeri itu.

Pengarah KPDN Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata tidak timbul isu kekurangan bekalan berikutan kilang penapisan dan pengeluaran gula telah diarahkan mengeluarkan gula pasir kasar dan halus seperti biasa untuk diagihkan kepada pemborong.

Sebelum ini media melaporkan masalah kekurangan gula di negeri itu dijangka pulih sepenuhnya hari ini.

"KPDN memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap peniaga yang mengenakan pembelian bersyarat gula kepada pengguna menerusi penguatkuasaan Ops Manis yang dilanjutkan sehingga 30 Jun.

"Dalam Ops Manis yang dijalankan semalam seorang peniaga di sebuah premis di Hutan Kampung, Alor Setar dikenakan tindakan kerana mengenakan syarat bagi pembelian gula pasir kasar oleh pelanggan.

"Susulan aduan awam, premis terbabit didapati mengenakan pembelian bersyarat dengan setiap pembelian 2 kilogram gula pasir kasar berharga RM2.85 sen sebungkus, pelanggan perlu membeli 1 kilogram Gula Putih Bertapis Jernih yang berharga RM4.60 sen sebungkus.

"Pegawai KPDN kemudian menyita gula pasir kasar sekilogram sebungkus sebanyak 10 kilogram dan Gula Putih Bertapis Jernih sekilogram sebungkus sebanyak 14 kilogram untuk siasatan lanjut.

"Nilai rampasan keseluruhan RM64.40 sen.

"Kes disiasat dibawah Seksyen 19 Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya menerusi kenyataan.


(Foto KPDN Kedah)

Media Baharu