fb fb fb fb fb

Kerajaan Negeri Pahang adakan kunjung hormat kepada pemimpin ilmuan Islam di Mesir

KUANTAN, 1 Jun- Delegasi Kerajaan Negeri Pahang mengadakan kunjung hormat ke atas Imam Akbar Sheikh al-Azhar, Profesor Dr Ahmed Mohamed Ahmed El-Tayeb yang merupakan antara pemimpin utama ilmuan Islam di dunia, semalam.

Kunjungan hormat itu merupakan kemuncak lawatan delegasi Kerajaan Negeri Pahang ke Universiti al-Azhar serta ke negara Mesir yang diketuai oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bermula pada 28 Mei lalu.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi catatan di facebook.
  
Beliau berkata dalam pertemuan itu, beberapa perkara dibincangkan terutamanya menyentuh mengenai kepentingan Ilmu, dakwah dan perkembangan agama Islam di Pahang serta kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri dan Universiti al-Azhar.
 
"Malah, saya ingin menjelaskan Kerajaan Negeri sentiasa menitikberatkan mengenai pendidikan Islam di Pahang terutamanya dengan penubuhan Tadika Tahfiz, Sekolah Rendah Tahfiz, Maahad Tahfiz serta Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS).

"Selain itu, saya juga menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Pahang amat berterima kasih kepada Universiti al-Azhar kerana telah mengiktiraf diploma UniIPSAS bagi membolehkan pelajar melanjutkan pelajaran ke Universiti al-Ajhar dalam peringkat Ijazah Sarjana Muda.


(Menteri Besar Pahang mengadakan kunjung hormat ke atas pemimpin utama ilmuan Islam di dunia/fb Menteri Besar Pahang)

Beliau berkata kunjungan delegasi Kerajaan Negeri Pahang ke Mesir itu turut mencapai beberapa kerjasama strategik yang lebih erat antara kedua-dua pihak.
 
"Antaranya, menjadi rakan strategik kepada Jabatan Mufti Negara Mesir menerusi pertemuan bersama Sahibus Samahah Mufti Agong Republik Arab Mesir, Shawki Allam bagi tujuan mencipta perhubungan secara dalam talian atau apa-apa cara untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan dengan bidang kefatwaan.
 
Menerusi perhubungan itu juga membolehkan segala fatwa yang dikeluarkan atau diterbitkan oleh Jabatan Mufti Negara Mesir boleh dikongsikan dengan Jabatan Mufti Negeri Pahang khususnya dan juga Jabatan-Jabatan Mufti di Malaysia.
 
Selain itu, Kerajaan Pahang juga telah meluluskan peruntukan berjumlah RM25,000 bagi menambah baik kelengkapan Surau Syeikh Abdul Halim Mahmud, di Kompleks Indera Mahkota di Hayy Asyir, Kaherah di Mesir.
 
Kerajaan Negeri juga turut menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada Badan Kebajikan Mahasiswa Islam Pahang serta RM10,000 lagi disumbangkan kepada Majlis Muafakat Anak-Anak Pahang Mesir untuk aktiviti serta sumbangan khas sebanyak USD100 (RM460) kepada setiap pelajar Pahang di negara itu.
 

Media Baharu