fb fb fb fb fb

Unit Peronda TH bantu jemaah haji tersasar di Masjidil Haram

MEKAH, 1 Jun- Perkhidmatan Unit Peronda Tabung Haji (TH) disediakan bagi memastikan para jemaah haji tidak tersasar atau sesat selepas selesai mengerjakan ibadah di Masjidil Haram.

Ketua unitnya, Deputi Superintendan Wan Shamshol Husin berkata seramai 17 anggota polis bantuan TH ditugaskan secara bergilir bagi perkhidmatan tersebut mengikut jadual ditetapkan.

Unit yang dahulunya dikenali sebagai Lipan Bara memulakan tugas secara rasmi 26 Mei lalu, selepas ketibaan jemaah pertama dari Madinah.

Sebanyak 8 lokasi tumpuan rondaan ditetapkan termasuk dataran laluan Zam Zam Tower, kawasan Pintu Marwah dan Pintu As-Salam.

"Ada juga jemaah haji yang menghadapi masalah kesihatan, tidak sempat habiskan ibadah saie, ada terkeluar dari kawasan masjid...jadi kita bantu selesaikan ibadah mereka," katanya di sini.

(Deputi Superintendan Wan Shamshol Husin)

Sementara itu, petugas akan memakai t-shirt merah Tabung Haji bagi membolehkan mereka dikenalpasti oleh jemaah, sekiranya bantuan diperlukan.

"Memang banyak pengalaman yang kami dapat…pertama kali kami jumpa jemaah tersasar, kebanyakkan golongan berumur…kami bantu tunjuk arah," kongsi petugas Mohamad Arif Azizan.

"Ada masa untuk berehat, ada masa untuk bertugas dengan sempurna. Peluang beribadah itu ada, kami akan solat berama jemaah yang lain," tambah Mohd Shaher Sharif.

"Tugasan yang berat adalah jemaah haji tersasar di Masjidiilharam dari hotel tidak berkaitan. Contohnya jemaah zon lain dia pergi zon lain...kita terpaksa ambil dan hantar ke zon berkaitan," menurut Mohamad Fakhrul Mohd Yusof.

Media Baharu