fb fb fb fb fb

KPDN Johor terima laporan kereta berpendaftaran Singapura isi minyak RON95

Lilis Saslinda Pornomo

PONTIAN, 25 Januari- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, mengesahkan menerima laporan berkenaan seorang wanita mengisi petrol RON95 ke dalam kereta bernombor pendaftaran Singapura. 

Pengarah KPDN Johor Lilis Saslinda Pornomo berkata, kejadian berlaku pada 21 Januari lalu di Stesen Minyak Taman Pelangi, Johor Bahru dan tular di media sosial. 

Hasil siasatan awal mendapati individu tersebut menggunakan kad untuk membuat pembayaran, namun tindakan wanita berkenaan sempat dihentikan pekerja stesen minyak berkenaan.

"Kita ada bukti menunjukkan dia (wanita) itu sempat mengisi minyak di stesen minyak berkenaan tidak sampai satu liter. Ia diisi kira-kira lebih RM1 sahaja.

"Selepas melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memang kita nampak perbuatan wanita itu. Wanita berkenaan mengisi minyak di tempat bahagian belakang, namun tindakan itu dikesan pihak stesen minyak dan telah menghentikan pengisian tersebut. Wanita tersebut sepatutnya mengisi RON97 bukan RON95," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Sesi Walkabout Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baru Cina 2025 di sebuah pasar raya Pekan Nanas di sini.

Bagaimanapun setakat ini tiada arahan dikeluarkan kepada warga asing yang mengisi minyak perlu menggunakan wang tunai. 

Dalam pada itu kira-kira 200 penguat kuasa akan digerakkan untuk memantau dan memastikan setiap stesen minyak serta semua premis mematuhi akta ditetapkan KPDN. 

Sebanyak 78 kes direkodkan dengan nilai kompaun sebanyak RM8,600, hasil daripada 1,875 pemeriksaan sepanjang SHMMP 2024, melibatkan kesalahan Akta Kawalan Harga dan AntiPencatutan 2011.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI