KUALA LUMPUR, 25 Januari – Kerajaan digesa menubuhkan segera Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan bagi memperkasakan kebajikan dan kesejahteraan petugas kesihatan di negara ini.
Yang Dipertua Persatuan Kesihatan Ikram Malaysia (Ikram Health) Dr. Mohd Afiq Mohd Nor, ini termasuk menilai semula waktu bekerja yang lebih adil dan efektif, di samping memastikan perancangan tenaga manusia dilakukan secara lebih sistematik dan inklusif.
Tambah beliau, langkah tersebut perlu bagi memastikan kebajikan petugas kesihatan terjamin, terutamanya bagi mereka yang bekerja secara syif di lokasi kritikal seperti Jabatan Kecemasan, di Unit Rawatan Rapi (ICU), dewan bedah, dan unit-unit lain.
“Kami mencadangkan agar waktu bekerja mingguan bagi petugas kesihatan dikurangkan daripada 45 jam kepada 40 hingga 42 jam, khususnya bagi mereka yang bekerja di luar waktu biasa atau waktu sosial.
"Cadangan ini bertujuan memberikan ruang rehat yang lebih mencukupi dan memastikan keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan peribadi mereka,” katanya ketika dihubungi Berita RTM pada Sabtu.
Selain itu, beliau turut mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan kenaikan elaun tugas atas panggilan dan elaun tambahan bagi petugas yang bekerja pada waktu malam atau dalam keadaan kritikal.
Menurutnya, imbuhan tersebut perlu diberikan secara adil tanpa diskriminasi antara jabatan atau unit.
“Elaun ini penting bagi mencerminkan beban tugas yang ditanggung oleh petugas kesihatan, terutama dalam situasi kekurangan tenaga kerja tetapi beban kerja tetap tinggi,” tambahnya.
Beliau turut menyambut baik keputusan Jemaah Menteri semalam yang membatalkan projek rintis Waktu Bekerja Berlainan (WBB), seperti yang diumumkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
“Tindakan ini menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap isu semasa dan kebajikan petugas kesihatan, selain memastikan kualiti perkhidmatan kesihatan kepada rakyat terus terjamin. Kami sangat menghargai langkah ini dan berharap kerajaan dapat terus komited dalam isu ini,” ujarnya.
Sementara itu, Persatuan Ekonomi Kesihatan Malaysia, turut menyokong langkah Jemaah Menteri membatalkan projek rintis tersebut.
Presidennya, Prof. Datuk Dr. Syed Mohamed Aljunid Syed Junid berkata, program WBB yang dicadangkan sebelum ini ditolak oleh sebahagian besar doktor dan pakar perubatan kerana cara pelaksanaannya tidak sesuai serta imbuhan yang tidak setimpal.
“Keputusan ini wajar kerana program ini tidak diterima oleh kebanyakan doktor dan pakar. Kita harus belajar daripada kesilapan ini dengan memastikan sebarang tindakan yang melibatkan tenaga kerja, terutama dalam sektor kesihatan, dirancang dan dilaksanakan dengan melibatkan semua pihak yang terkesan,” katanya.
Beliau turut mencadangkan penubuhan segera satu jawatankuasa khas untuk mengkaji isu ini secara menyeluruh serta melaksanakan langkah penambahbaikan.
“Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan yang telah lama dibincangkan perlu diwujudkan segera agar dapat menjadi platform yang lebih baik untuk menyelesaikan isu kebajikan, gaji, imbuhan, dan pengurusan sumber tenaga manusia dalam sistem kesihatan.
“Kita harus ingat bahawa sumber daya manusia dalam sistem kesihatan amat penting, kerana hampir 60 hingga 70 peratus daripada peruntukan kewangan sektor kesihatan melibatkan tenaga kerja. Kita juga tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk menyelesaikan masalah ini kalau tidak dirancang dengan dengan baik," jelasnya lagi.
Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan bertujuan mengeluarkan para pengamal perubatan daripada tangga gaji penjawat awam yang ketika ini diselia Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Ia juga bagi menangani masalah dihadapi doktor-doktor perubatan yang masih berstatus kontrak, membantu perkembangan kerjaya dalam bidang perubatan seterusnya menjadi pakar perubatan serta menangani isu kekurangan doktor-doktor pakar.
Pada 15 Jun tahun lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul Kertas Putih Kesihatan selepas mendapat sokongan majoriti ahli parlimen menerusi undian suara pada hari terakhir Mesyuarat Kedua Penggal Kedua, Parlimen Ke-15.