KOTA BHARU, 16 April- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan tiada kenaikan harga barangan akan berlaku menjelang sambutan perayaan Aidilfitri ini.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, rakyat dinasihatkan membuat aduan segera sekiranya terdapat kenaikan harga yang melampau.
Jelas beliau, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang menjual barangan melebihi harga ditetapkan.
"Kalau ikan, ada yang premium, yang itu kita tak kawal.
Tetapi barangan asas seperti beras, tepung, gula, telur ayam, dan ayam bulat, semua itu dikawal dan tidak mungkin akan naik," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan tinjauan di Bazar Ramadan Rahmah Stadium Sultan Muhammad ke-IV, di sini.
(Datuk Seri Salahuddin Ayub, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup)
Tambahnya, menerusi tinjauan selama dua hari, beliau mendapati harga barangan khususnya sayur mengalami penurunan kecuali tomato yang dijual pada harga RM6.00.
Datuk Seri Salahuddin turut menasihatkan rakyat agar tidak membuat pembelian panik berikutan barangan keperluan adalah mencukupi.