fb fb fb fb fb

Pahang alu-alukan NGO beri sumbangan pada golongan memerlukan

KUANTAN, 16 April - Pahang mengalu-alukan lebih ramai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyumbangkan bantuan kepada golongan memerlukan di negeri itu terutama ketika bulan Ramadan dan Syawal.

Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Negeri, Datuk Sabariah Saidan berkata, tanpa mengira bentuk bantuan yang dihulurkan, beliau berharap ia dapat membantu golongan yang memerlukan menjalani kehidupan harian.

"Hari ini kita ucapkan terima kasih kepada pihak Petronas yang saya difahamkan program ini memang setiap tahun memacu kehidupan, Hari Raya Aidilfitri 2023 tahun ini lah dan saya berharap ada NGO-NGO lain yang boleh beri bantuan kepada orang-orang kurang berkemampuan bukan sahaja di daerah Pekan dan Kuantan kalau boleh keseluruhan negeri Pahang lah," kata beliau selepas Program Memacu Kehidupan: Hari Raya Aidilfitri dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Petronas, di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 250 keluarga B40 di Kuantan dan Pekan menerima sumbangan barangan makanan asas seperti beras, minyak masak, gula, tepung gandum, pes rendang, beras pulut dan santan.


(Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Negeri Pahang, Datuk
Sabariah Saidan)

Selain itu, mereka turut menerima biskut raya yang disediakan khas oleh peserta Program Memampankan Ekonomi Asas Rakyat (MEKAR) anjuran Yayasan Petronas.

Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli dalam ucapannya berkata, secara keseluruhan di pantai timur, seramai 1,350 keluarga B40 telah menerima bantuan tersebut.

Seramai 4,850 keluarga B40 di seluruh negara menerima manfaat yang sama berbanding 3,990 keluarga B40 pada tahun lalu.

Media Baharu